Sambutan peringkat negeri sembilan meriah
Play all audios:

SEREMBAN: Sebanyak 104 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini.
Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan institut pengajian serta syarikat swasta. Istiadat
Kawalan Kehormatan Utama membabitkan 104 pegawai dan anggota daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang diketuai oleh Mejar Mohd Asyraf Nazarudin. Istiadat itu
turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan pasukan 15 RAMD, 24 RAMD dan Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA) dengan kekuatan seramai 45 anggota diketuai Staf Sarjan Md Firdaus Yusof dari
pasukan 24 RAMD. Perarakan turut menyaksikan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Persembahan lain turut diadakan selari dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ adalah teknik gempur, persembahan silat, bacaan puisi serta
persembahan daripada artis Datuk Jalaluddin Hassan dan Esma Daniel. Memeriahkan suasana adalah kehadiran lebih 12,000 orang yang datang seawal jam 7 pagi bersama keluarga. Turut berangkat
pada majlis itu adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Yang turut hadir,
Undang Yang Empat; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Terdahulu ketika berucap, Aminuddin berharap generasi masa
kini menilai daripada pelbagai sudut acuan negara ini, sejak awal penubuhannya. Katanya, Malaysia tidak wujud secara spontan tetapi lahir melalui kesepakatan antara pemimpin negara ini untuk
melihat ia berdiri kukuh atas kepelbagaian agama, kepelbagaian budaya dan kepelbagaian etnik. “Dengan pelbagai cabaran menanti, jangan sesekali kita nyalakan api yang boleh membakar bangsa.
“Jangan juga kita hilang punca serta lupa kepada susur galur dari mana negara ini terbentuk demi mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang ada,” katanya.